PENGGUNAAN ALKOHOL DALAM UBAT-UBATAN

Filed under: Analisa,Fiqh Kontemperor,Karya,Perubatan dan Kesihatan |

 

               Dalam perbincangan ini, kita akan melihat hukum penggunaan alkohol dalam industri perubatan, di mana kita menyaksikan banyak di antara ubat-ubatan moden pada hari ini menggunakan  alkohol sebagai salah satu bahan yang dicampurkan dalam proses pembuatan ubat antaranya alkohol digunakan sebagai antiseptik, spririt, bahan pelarut dan sebagainya. Sebelum dibincangkan dengan lebih terperinci, maka akan dijelaskan dahulu konsep alkohol dan sumber pembuatannya.

Definisi alkohol dan sumbernya

Menurut Kamus Dewan Bahasa alkohol ialah cecair yang mudah terbakar dan memabukkan yang terdapat dalam minuman keras. Menurut Mu’jam Lughah al-Fuqaha alkohol ialah suatu agen atau unsur yang memabukkan yang terkandung dalam sesuatu bahan iaitu arak. Manakala dari sudut sains pula alkohol adalah nama yang digunakan dalam kaedah saintifik kepada sebatian yang mempunyai kumpulan hidroksi OH. Ia juga merupakan bahan cecair tanpa warna yang dihasilkan menerusi dua pemprosesan, pertama menerusi fermentation (penapaian), iaitu proses khas untuk menghasikan arak, dan kedua menerusi bahan kimia, iaitu proses bagi menghasilkan alkohol daripada petroleum. Hasil pemprosesan ini dikenali juga sebagai etanol atau etil alkohol. Umumnya, alkohol dan arak merupakan dua entiti yang berbeza di mana alkohol lazimnya terdapat di dalam proses pembuatan arak, tetapi alkohol itu pada zatnya sendiri adalah bukan arak. Ini kerana, perbezaan yang ketara di antara alkohol dan arak ialah alkohol tidak memabukkan tetapi ia mematikan bagi sesiapa yang meminumnya dalam kuantiti yang banyak, manakala arak pula sifatnya memabukkan tidak mematikan.

Sumber utama alkohol ialah daripada kayu kayan yang dikenali sebagai metil alkohol iaitu metanol atau daripada biji-bijian yang juga dikenali sebagai etil alkohol iaitu etanol. Kedua-dua sumber utama alkohol ini sememangnya terdapat dalam arak, tetapi jelas ia bukan arak hanya salah satu daripada bahan pemprosesan arak. Di dalam perubatan, metanol banyak digunakan sebagai bahan pelarut, antaranya spirit yang berfungsi sebagai bahan untuk mematikan kuman-kuman dikulit sebelum melakukan suntikan. Berlainan dengan etanol yang banyak digunakan dalam pembuatan arak sebagai bahan pencampur dan sifat ia adalah memabukkan. Justeru itu tidak timbul isu alkohol itu haram atau najis kerana sumbernya diakui bukan daripada arak bahkan daripada kayu, biji-bijian atau petroleum yang sememangnya halal melainkan jika alhokol itu diproses daripada arak atau sumber utamanya arak, maka jelas keharamannya. Maka jelaslah di sini, alkohol yang digunakan sebagai bahan campuran dalam apa jua penggunaan sama ada dalam industri makanan, minuman, kosmetik, mahupun perubatan adalah halal dan tidak dianggap sebagai najis dan alkohol itu jelas bukan arak.

Alkohol etanol misalnya, pada hari ini banyak terdapat di farmasi-farmasi tidak lagi diproses daripada arak dan tidak juga diproses daripada buah-buahan yang memabukkan bahkan kebiasaannya ia akan mengeluarkan gas tabi’i dan bahan-bahan lain selepas dilakukan tidak balas kimia ke atasnya, berbeza dengan arak dari beberapa sudut. Antaranya alkohol jenis ini tidak memabukkan bahkan ia dikira sebagai bahan yang beracun bukan bahan yang memabukkan, ini kerana konsep asal penggunaan etanol bukan untuk dijadikan bahan minuman yang memabukkan walaupun ianya dijadikan bahan campuran di dalam arak[1].

Hukum berubat dengan alkohol

               Setelah dijelaskan bahawa alkohol itu bukan arak berdasarkan kepada sumber-sumber pembuatan alkohol yang sememangnya diekstrak daripada bahan-bahan yang asalnya suci dan halal seperti kayu-kayu, sebatian organik, petroleum dan sebagainya sebagaimana menurut kaedah al Istishab iaitu setiap perkara yang tetap pada asalnya melainkan wujudnya bukti dan dalil yang menunjukkan ia haram atau tidak harus atau sesuatu yang mengubah hukum asal[2]. Berdasarkan kepada prinsip asal sesuatu benda yang baru itu adalah suci, maka alkohol juga dikira sebagai bahan yang suci. Oleh itu dalam keadaan ini, alkohol yang diperbuat daripada bahan-bahan yang harus, maka hukumnya harus juga menggunakannya temasuk juga dalam perubatan namun terdapat beberapa kaedah yang perlu dipatuhi agar penggunaannya tidak memudaratkan pesakit khususnya.

Oleh yang demikian, penggunaan alkohol di dalam memproses sesetengah ubat-ubatan adalah di dalam kuantiti yang kecil bagi melarutkan pati tumbuh-tumbuhan, organ atau bahan kimia yang tidak larut di dalam bahan lain. Begitu juga dengan penggunaannya sebagai bahan antiseptik, pembasmi kuman dan sebagainya boleh digunakan kerana ia adalah suci. Tambahan pula terdapat keperluan dan maslahah yang besar untuk menggunakan alkohol sebagai bahan-bahan tersebut. Namun terdapat beberapa syarat yang harus dipatuhi penggunaan alkohol dalam perubatan agar ia tidak memberi kesan yang memudaratkan pesakit. Di sini, terdapat beberapa keputusan fatwa yang telah diputuskan oleh Majlis Fatwa di beberapa buah negara serta pendapat pakar perubatan mengenai kedudukan alkohol dalam ubat-ubatan.

            Nadwah Fiqh Perubatan Islam ke 8 anjuran Pertubuhan Ilmu-Ilmu Perubatan Islam yang berlangsung di Kuwait pada 22 hingga 24 Mei 1995 memutuskan bahawa[3]:

”Bahan alkohol tidak najis menurut syarak, berdasarkan kepada prinsip asal sesuatu itu adalah suci sama ada alkohol itu sahaja atau telah dicampurkan dengan air. Maka tidak menjadi kesalahan menggunakan alkohol dari sudut perubatan yang bertindak sebagai bahan pencuci iaitu antiseptik pada kulit dan apa jua kecedaraan, dan dalam ubat-ubatan serta pembasmi kuman kerana ia tiada kiatan dengan arak kerana arak haram diambil manfaat daripadanya”

Majlis Akademi Fiqh yang berlangsung di Jeddah, Arab Saudi telah memutuskan dalam mesyuaratnya yang ke 3 pada tahun 1986 bahawa[4]:

”Diharuskan bagi pesakit Islam mengambil ubat-ubatan yang mengandungi alkohol dalam kuantiti yang tertentu jika didapati tidak ada ubat-ubatan lain yang bebas alkohol dengan syarat atas nasihat doktor yang dipercayai dan amanah”

Dr Muhammad Said Ramadan al Butti[5] menyatakan dalam fatwanya:

”Setiap alkohol yang dicampurkan untuk dijadikan ubat seperti pembasmi kuman bagi luka, maka ia dimaafkan dan tiada halangan untuk menggunakannya”

Profesor Dr Abu bakar Abdul Majeed, Dekan Fakulti Farmasi, Universiti Teknologi Mara, Shah Alam dalam artikelnya menjelaskan[6]:

”etanol yakni alkohol yang digunakan di dalam ubat hanya peratusa paling kecil dan mempunyai tujuan untuk pelarutan dan pembasmi kuman, amaun ini tidak memabukkan. Juga pelbagai jenis bahan kimia lain daripada kumpulan famili alkohol digunakan dalam ubat bukan semata-mata etanol sahaja”

Rashid Redha juga menegaskan bahawa alkohol adalah bahan yang suci serta merupakan komponen penting dalam bidang perubatan dan dalam pelbagai bidang industri.

Akhir sekali, dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Malaysia yang telah diadakan di Ipoh pada 11 hingga 14 April 1984 telah mengambil keputusan tentang alkohol iaitu:

1)      Setiap minuman arak mengandungi alkohol tetapi bukan semua alkohol daripada arak. Alkohol daripada pembuatan arak hukumnya haram dan najis tetapi alkohol yang dibuat bukan daripada pembuatan arak hukumnya tidak najis tetapi haram diminum.

2)      Minuman ringan yang dibuat sama caranya dengan arak sama ada mengandungi sedikit alkohol atau alkoholnya disulingkan adalah haram diminum.

3)      Minuman ringan yang dibuat bukan untuk dijadikan arak atau bahan mabuk dan tidak sama caranya dengan proses arak adalah halal.

4)      Tapai halal dimakan

5)      Alkohol yang terjadi secara sampingan dalam proses pembuatan makanan tidak najis dan boleh dimakan

6)      Ubat-ubatan dan pewangi yang mengandungi alkohol hukumnya harus dan dimaafkan.

Oleh itu berdasarkan, hujah dan fatwa-fatwa di atas jelas kepada kita bahawa alkohol yang terdapat dalam ubat-ubatan adalah suci dan tidak najis, maka ia boleh digunakan dengan amaun yang ditentukan oleh pakar perubatan.

Namun, jika sekiranya pembuatan alkohol itu diekstrak atau diambil daripada arak yang jelas keharamannya untuk dicampurkan menjadi ubat-ubatan, maka tidak boleh digunakan kerana dalamnya telah bercampur sesuatu yang haram. Hal ini berdasarkan kepada kaedah qias di mana mazhab Hanafi, Maliki, Syafi’ie dan Hanbali bersepakat mengatakan bahawa alkohol yang bersumberkan daripada arak adalah haram berdasarkan kaedah qias kepada arak kerana kesamaan illah iaitu memabukkan.

Justeru, penggunaan alkohol dalam perubatan juga dilihat sebagai satu keperluan bahkan satu dharuriat bagi menyelamatkan pesakit sekiranya mereka mengalami kecederaan yang serius, maka mungkin tanpa ubat-ubatan yang bercampur dengan alkohol akan melambatkan lagi kesembuhan seseorang pesakit bahkan boleh bertambah serius. Namun dengan penggunaan alkohol ini ia lebih memberi kebaikan dan kepentingan kepada pesakit dan meringankan mereka.

Hukum minum ubat-ubatan yang mengandungi alkohol

               Seperti yang diketahui, kebanyakan ubat-ubatan dalam bentuk cecair dimasukkan ke dalamnya kuantiti kecil etanol bagi tujuan pemprosesan sebagai bahan pelarut sesetengah bahan tertentu yang tidak larut. Kesemua ubat-ubatan ini dihasilkan bagi tujuan rawatan dan nasihat pakar perubatan, ia diambil dalam kuantiti yang kecil dan tidak mungkin menyebabkan pesakit mabuk. Jika seseorang minum ubat melebihi dos yang ditetapkan, lalu mati ,maka kematiannya bukan disebabkan mabuk tetapi keracunan. Terdapat tiga pandangan ulama mengenai pengambilan alkohol sebagai minuman dalam ubat[7] :

Pertama : Ibnu Taimiyyah menyatakan harus meminum ubat-ubatan yang bercampur alkohol dalam keadaan biasa dan normal bukan darurat kerana kuantiti alkohol yang terlalu sedikit di dalamnya telah terlarut dengan cecair yang banyak yang bercampur dengannya. Ibnu Hazm menambah harus menggunakan sesuatu  yang haram apabila dicampur dalam periuk dalam kuantiti yang sedikit kerana ia tidak mempunyai bau, warna dan rasa, ia juga dikira sebagai halal di waktu itu.

Kedua : Mazhab Hanafi dan Abu Yusuf mengharuskan meminum alkohol dalam keadaan normal dan biasa walaupun alkohol tersebut tidak larut dalam ubat-ubatan kerana  mereka menghalalkan pengambilan minuman yang diperbuat daripada selain anggur dan tamar dengan tujuan menguatkan badan dan berubat dengan syarat tidak memabukan.

Ketiga : Mazhab al Syafi’ie menyatakan harus meminum ubat-ubatan yang bercamour alkohol dalam keadaan darurat berdasarkan kepada arak yang telah larut bersama ubat-ubatan lain boleh digunakan untuk berubat dengannya jika ada manfaatnya berdasarkan kepada nasihat doktor yang amanah dan tidak ada ubat-ubatan lain melainkan ubat tersebut sahaja.

Oleh itu pendapat yang rajih ialah pendapat daripada Ibnu Taimiyyah dan Ibnu Hazm yang mengatakan harus meminum ubat yang bercampur alkohol dalam keadaan biasa dengan kuantiti yang sedikit. Ini kerana, jika kita hanya mengkhususkan penggunaan ubat-ubatan yang bercampur alkohol hanya ketika darurat sahaja, bagaimana pula dengan keadaan sakit biasa yang tidak sampai tahap memudaratkan tetapi masih memerlukan ubat-ubatan tersebut seperti ubat batuk, demam dan sebagainya. Oleh itu, seharusnya dilihat kepada tujuan utama pencampuran alkohol di dalam ubat-ubatan adalah untuk menenangkan dan  meringankan kesakitan  pesakit. Oleh itu, termasuk juga dalam masalah ini kesakitan yang biasa dan darurat kerana fungsinya untuk menyembuhkan dan mengurangkan kesakitan.

 

PENGGUNAAN NAJIS DALAM UBAT-UBATAN

 

Seterusnya dalam perbincangan ini, kita akan melihat penggunaan bahan-bahan najis di dalam proses ubat-ubatan, dari aspek sejauh manakah pengharusan dan pengharaman menggunakan bahan-bahan tersebut dalam bidang perubatan, lebih-lebih lagi bahan-bahan yang secara qat’ie jelas pengharamannya seperti arak, babi dan sebagainya. Namun, oleh kerana keperluan yang mendesak supaya menggunakan bahan-bahan tersebut di dalam ubat-ubatan, maka kita tidak boleh lari daripada menggunakannya disebabkan saban hari kita dikejutkan dengan pelbagai jenis penyakit baru yang memerlukan bahan-bahan najis sebagai intipati utama dalam proses menghasilkan ubat-ubat bagi merawat penyakit tersebut. Justeru itu, kita akan melihat bagaimana Islam menangani masalah ini dengan menggariskan beberapa panduan dalam mengharuskan penggunaan najis dalam ubat-ubatan.

 

Penggunaan bahan-bahan najis dalam ubat-ubatan

            Memang tidak dapat dinafikan terdapat keperluan yang mendesak agar menggunakan najis sebagai ubat-ubatan khususnya dalam perubatan moden. Antara bahan-bahan najis yang sering digunakan dalam menghasilkan ubat-ubatan adalah geletin, insulin, benda-benda yang memabukkan seperti arak, dadah dan lain-lain, dan najis-najis yang jelas seperti tahi, kencing, darah dan sebagainya.

Tidak dinafikan, ada juga antara penyakit itu yang sukar ditemui ubatnya. Sebahagiannya pula boleh disembuhkan dengan menggunakan ubat-ubatan daripada benda-benda najis iaitu berdasarkan pengalaman orang-orang terdahulu.Oleh kerana itu, menurut pendapat yang ashah dalam mazhab Syafi‘e, adalah harus berubat dengan segala benda najis, kecuali yang memabukkan, dengan alasan bahawa berubat itu adalah merupakan perkara darurat. Sedangkan darurat itu mengharuskan kita mengambil apa yang ditegah, sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
“Dan sesungguhnya Allah telah menerangkan kepada kamu satu persatu apa yang diharamkanNya atas kamu, kecuali yang terpaksa kamu memakannya.”

(Surah Al-An‘am: 119)

Berdasarkan ayat tersebut dan ayat-ayat seumpamanya, maka para ulama telah menggariskan kaedah: “Keadaan-keadaan darurat itu mengharuskan perkara-perkara yang dilarang.”[8]

Walau bagaimanapun, penggunaan najis sebagai ubat itu masih juga terikat dengan tidak melampaui batas, sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

“Maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang dia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu), maka tidaklah dia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun Lagi Maha Mengasihani.”

(Surah Al-Baqarah: 173)

Imam an-Nawawi Rahimahullah juga berpendapat bahawa harus berubat dengan najis selain arak. Hukum keharusan berubat itu sama sahaja bagi semua najis melainkan yang memabukkan. Ini berdasarkan daripada sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Anas Radhiallahu ‘anhu:

Maksudnya: “Bahawa serombongan suku ‘Ukal seramai lapan orang datang menemui Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, lalu mereka berikrar kepada Nabi untuk masuk Islam. Kemudian cuaca kota Madinah merimaskan mereka dan mengakibatkan tubuh badan mereka sakit-sakit, lalu mereka mengadukan hal itu kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Baginda bersabda kepada mereka: “Barangkali elok kamu pergi bersama tukang gembala kami kepada untanya, kemudian kamu dapatkan air kencing dan susunya.” Mereka menjawab: “Baiklah.” Mereka pun pergi dan meminum susu dan kencing unta itu, setelah itu mereka pun sihat. Tetapi kemudian mereka membunuh tukang gembala Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam itu dan merampas unta-untanya.”

(Hadis riwayat Bukhari)

Walau bagaimanapun, Imam an-Nawawi ada menyebutkan lagi daripada pendapat lain. Bahawa keharusan berubat dengan najis itu hanyalah dibolehkan apabila tidak ditemui ubat yang suci yang boleh menggantikannya. Jika ada ubat yang suci, maka haramlah berubat dengan najis tersebut.Sebagaimana Al-‘Izz bin Abdussalam Rahimahullah berkata:

Ertinya: “Harus berubat dengan najis apabila tidak ada ubat yang suci yang boleh menggantikannya, kerana maslahat kesihatan dan kesejahteraan itu lebih sempurna berbanding dengan maslahat menjauhi najis. Dan tidak harus berubat dengan arak mengikut pendapat yang ashah.”

Oleh yang demikian, berdasarkan daripada penjelasan di atas dapatlah disimpulkan bahawa berubat untuk menyembuhkan penyakit itu adalah perkara yang digalakkan dalam Islam. Ubat-ubatan yang digunakan hendaklah daripada benda-benda yang halal dan suci. Di samping itu, harus berubat dengan benda-benda yang najis selain sesuatu yang memabukkan jika tidak ada ubat lain yang suci sebagai penggantinya.

 

Oleh,

Khairul Azhar Bin Meerangani

Sarjana Muda Syariah, Universiti Malaya



[1] Nazih Hammad (2004) Penggunaan Bahan-Bahan Yang Haram & Najis Di Dalam Makanan & Ubat-Ubatan. Kuala Lumpur: Al-Hidayah Publishers. h. 74.

[2] Abd Latif Muda, Rosmawati Ali (2001) Perbahasan Usul Al Ahkam. Kuala Lumpur: Pustaka Salam.  h. 146.

[3] Op.cit. Lihat Nazih Hammad. h. 77.

[4] Op.cit. Nazih Hammad. h. 81.

[5] Lihat fatwa Hukum Alkohol Dalam Ubat http://www.bouti.net/fatawas.php?P HPSESSID= 91f8aadbda4665b0588cd2d1fa9bc4bc&id=1778&PHPSESSID=91f8aadbda4665b0588cd2d1fa9bc4bc

[6] Abu Bakar Abdul Majeed, Ada unsur babi..Halalkah ubat kita?, al Islam, Februari 2009. h. 56.

[7] Op.cit. Lihat Nazih Hammad. h. 79.

[8] Ali Haidar, Durar Ahkam Syarh Majallat Ahkam, Qaherah : Dar Al-Fadhilah, 1991, juz 1, hlm. 33

 

 

Pin It