Pekerjaan Menurut Perspektif Islam

Filed under: Adab & Akhlak |

Konsep kerja menurut Islam adalah meliputi segala bidang ekonomi yang dibenarkan oleh syarak dan diperbolehkan menerima upah atau bayaran, sama ada kerja itu berjawatan tinggi atau rendah, berpangkat atau tidak, sama ada kerja itu bercorak jasmani (flzikal) seperti kerja buruh atau kontrak, perladangan atau pertanian, pertukangan atau kraf tangan dan sebagainya atau kerja bercorak aqli (mental) seperti jawatan pegawai di jabatan-jabatan, baik yang berupa perguruan, iktisas atau jawatan perkeranian dan teknikal dengan kerajaan atau swasta.

Terdapat penjelasan tentang konsep kerja dari keterangan hadis-hadis Rasulullah (s.a.w), Antara hadis-hadis tersebut ialah:

“Tidaklah ada makanan seseorang itu yang lebih baik daripada apa yang dimakannya dari hasil usaha tangannya sendiri”. (Riwayat al-Bukhari)

Dengan usaha tersebut, makanya ianya membawa kepada satu perubahan daripada negatif kepada positif, lemah kepada kuat, mundur kepada maju, dan terbaik kepada cemerlang.Bagaimana yang dikatakan ianya membawa kepada kecemerlangan?

Firman Allah berbunyi :-
إِنَّ اللّهَ لاَ يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّى يُغَيِّرُواْ مَا بِأَنْفُسِهِمْ

Sesungguhnya Allah tidak merubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka merubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri.  Surah ar-Ra’d :11

Sejarah telah membuktikan Rasulullah s.a.w. bukan setakat menyampaikan risalah Islam malahan baginda adalah contoh pengurusan yang begitu Unggul. Di mana baginda mempunyai keperibadian yang sangat tinggi, apabila bekerja, baginda bekerja dengan taat dan tekun. Ini dibuktikan sewaktu baginda manjalankan urusan perniagaan Siti Khadijah binti Khuwalid(isteri Nabi) dan juga bapa saudaranya Abu Talib.

Etika kerja yang melanggar syariatkan Islam seperti menipu, zalim dan menindas, maka sudah pasti dunia pekerjaan akan tercemar. Apa yang nyata, keperibadian mulia seorang pekerja dan majikan, hendaklah diberikan penanda aras paling tinggi dan utama. Ini kerana jika pekerja dan majikan bersifat amanah serta tidak menyalahguna pangkat atau kuasa dalam mentadbir; nescaya akan mendapat keredhaan Allah s.w.t., mendapat keberkatan rezeki, dipercayai oleh pekerja dan organisasi, serta membawa kemakmuran kepada organisasi.

Sebuah hadis Rasulullah s.a.w bersabda :-

“Orang yang paling kecewa (rugi) pada hari kiamat kelak ialah orang yang mencari harta secara tidak halal lalu ia masuk ke neraka bersama-sama hartanya.” Diriwayatkan oleh Imam Bukhari

5 cabaran sentiasa mendepani organisasi yang cemerlang iaitu perubahan minda dan sikap yang mengejar kecemerlangan, etika yang luhur, pembangunan modal insan yang berilmu dan mahir, budaya kerja berasas prestasi, dan daya kepimpinan yang unggul.

Atas dasar inilah dengan berusaha bersungguh-sungguh akan menunjukkan kecemerlangan. Disamping berdoa kita di minta berusaha. Doa tanpa usaha ianya merupakan angan-angan kosong sahaja. Gabungan doa dan usaha baru sempurna untuk mendapat kekayaan yang diimpikan dengan keizinan Allah. Kejayaan dengan hasil kerja tekun dan didikasi inilah yang dimaksudkan satu jihad.
Allah s.w.t. telah menetapkan dalam sunnah kehidupan bahawa kejayaan itu adalah hasil daripada kerja tekun dan dedikasi. Inilah antara maksud jihad yang dituntut oleh Islam.

At-Tabrani meriwayatkan sebuah hadith Rasulullah s.a.w. yang mafhumnya:

“Mereka yang mencari harta dunia (kekayaan) dengan jalan yang halal dan menahan dirinya dari meminta-minta (tidak menjadi pengemis) dan berusaha mencari nafkah untuk keluarganya serta belas kasihan, kasih sayang terhadap jiran tetangganya, nescaya di hari kiamat kelak ia akan berjumpa dengan Allah dengan mukanya berseri-seri seperti bulan purnama pada waktu malam.”

Secara amnya manusia yang berperibadi cemerlang berjaya menyempurnakan tugasnya berdasarkan kekayaan ilmu pengetahuan yang ada, penghayatan dan penuh ketelitian, dan pengamalan ilmunya, serta melaksanakan tugas yang sentiasa mencapai atau melepasi ukuran cemerlang. Mereka juga digambarkan melalui tingkah laku yang sentiasa berhemah tinggi, berbudi pekerti mulia, dan menerima tanggungjawab sebagai amanah.

Sebagai penjawat di sesebuah organisasi, kita tidak dapat lari daripada menerima kesan daripada perubahan ini. Jika kita tidak cepat bertindak menyesuaikan diri dengan perubahan ini dikhuatiri kita tidak akan mampu menyampaikan perkhidmatan seperti yang dituntut oleh masyarakat luar yang telah berubah mengikut persekitaran. Bagi melahirkan organisasi yang gemilang, individu yang menggerakkan organisasi mestilah terlebih dahulu cemerlang.

Marilah bersama-sama kita bermuhasabah diri, sejauhmanakah kedudukan kita dalam dunia pekerjaan ini? Adakah kita telah membawa perubahan kepada diri, keluarga, negara, organisasi dan kepentingan agama kita?. Dalam keadaan kemelestan ekonomi dunia sekarang, banyak pihak mengurangkan produk pengeluaran dan jumlah pekerja mereka. Namun kita sebagai penjawat awam atau swasta yang masih bekerja hendaklah bersyukur dan meneruskan usaha ke arah perkhidmatan cemerlang; bekerja dalam konteks amal soleh dan nilai-nilai murni bagi memastikan perubahan yang lebih positif terus dicapai.

Firman Allah s.w.t. dalam surah at-Taubah ayat 105:
وَقُلِ اعْمَلُواْ فَسَيَرَى اللّهُ عَمَلَكُمْ وَرَسُولُهُ وَالْمُؤْمِنُونَ وَسَتُرَدُّونَ إِلَى عَالِمِ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ فَيُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ

Maksudnya: “ Katakanlah (wahai Muhammad), beramallah kamu akan segala yang diperintahkan, maka Allah s.w.t. dan Rasul-Nya serta orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada Allah s.w.t. yang mengetahui perkara-perkara yang ghaib dab nyata. Kemudian Dia memberitahu kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan.”

Prinsip Dalam Pekerjaan Seorang Muslim :

Prinsip Kesempurnaan (Al-Itqan)
Pembaharuan (Ai-Tajdid)
Inovasi (Al-Ibda)
Islam adalah sebagai agama kehidupan (ad-din).
Banyak ulama’ Islam berpendapat fenomena dunia pekerjaan islam yang tidak berjaya ini merupakan satu dilema umat Islam yang berlaku yang disebabkan oleh 4 perkara berikut iaitu kekeliruan tentang konsep ilmu, tiadanya adab dalam masyarakat dan pemimpin yang tidak menghayati aspek kerohanian dan kemasyarakatan

Konsep tauhid yang merupakan intipati ajaran Islam. Terdapat banyak ayat al-Quran menerangkan makna dan intipati tauhid yang boleh diterjemahkan dalam dunia pekerjaan

Tujuan penciptaan manusia

“Dan tidak Aku (Allah) menjadikan jin dan manusia melainkan untuk mengabdikan diri kepada Allah” (Az-Zariyat : 56)

Mendapat keredaan Allah taala

“…yang sepatutnya mereka cari ialah keredaan Allah dan RasulNya, sekiranya mereka adalah daripada orang yang beriman.” (At-Taubah : 62)

“Khalifah Allah”

“dan (ingatlah) ketika tuhanmu berfirman kepada malaikat: Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seseorang khalifah di bumi” (Al-Anbbiya: 107)

Implikasi tauhid

“Orang yang tidak dilalaikan oleh perniagaan dan perdagangan daripada mengingati Allah” (An-Nur : 37)

Berdasarkan ayat al-Quran di atas, pendekatan tauhid boleh diterjemahkan secara menyeluruh dalam sistem pengurusan dan pentadbiran awam. Ini adalah kerana konsep tauhid menurut al-Quran sebenarnya bertujuan untuk menjalinkan ikatan manusia dengan penciptanya (Hablun Minallah) dan sesama manusia (Hablun Minannas).

Tauhid bukan satu kalimat tetapi satu pengajaran falsafah tentang bagaimana membuat hubungan sesama manusia dibawah sinaran perhubungan dengan Allah s.w.t. Oleh itu manusia tidak bertindak sewenang-wenangnya tanpa memikirkan pembalasan daripada Allah s.w.t di dunia dan di akhirat .

Ini menggambarkan perilaku individu manusia dalam sesuatu pentadbiran adalah sebagai pekerja yang cemerlang menjalankan tugasnya (hubungan sesama manusia) dan lebih tinggi lagi sebagai hamba yang patuh kepada perintah Allah s.a.w ( hubungan dengan pencipta).

Ini bererti konsep tauhid telah meletakkan kedudukan manusia pada tahap yang sebenarnya dalam alam dan menerangkan kenapa dan untuk tujuan apakah manusia diciptakan oleh Allah S.W.T, Tuhan yang maha berkuasa dan manusia sebagai khalifah Allah di muka bumi ini.

Ciri-ciri pendekatan tauhid dalam pentadbiran dan pengurusan pekerjaan mempunyai ciri-ciri seperti berikut antaranya:

· Pengurusan yang sentiasa meletakan keimanan sebagai paksi dan ketuhanan sebagai matlamat akhir

· Pengurusan yang tidak memisahkan antara pembangunan material dan pembangunan sumber manusia, bahkan meletakkan pembangunan manusia khususnya kejiwaan sebagai asas kepada pembangunan kebendaan.

· Pengurusan yang mengambilkira atau meraikan kemampuan dan juga realiti persekitaran dalam mencorakkan perancangan, penyusunan dan fungsi-fungsi pengurusan yang lain.

· Pengurusan yang sentiasa menekankan pembentukan dan pembangunan pengurus-pengurus yang berlualiti dan berwibawa untuk melaksanakan fungsi pengurusan dan tanggungjawab pendidikan selaras dengan prinsip-prinsip yang telah digariskan.

Dr. Yusof Qardawi yang mengatakan bahawa dalam usaha meningkatkan prestasi kerja dan produktiviti pengeluaran, tiada pendorong dan penggerak yang lebih kuat pengaruhnya selain dari iman. Ini semestinya akan melahirkan pentadbiran dan pengurusan kerajaan selari dengan falsafah Islam. Malah etika dan profesionalisme Islam meletakkan kesetiaan kepada Allah s.w.t dan rasulNya mengatasi segala-galanya nilai yang wujud dalam sesuatu sistem atau budaya.

Kesan pekerja yang bekerja dan menjadikan tauhid dan iman sebagai paksi utama dalam pekerjaannya :

· Manusia bekerja bukan mendapatkan upah semata-mata tetapi lebih kepada mendapat keredaan Allah s.w.t semata-mata.

· Kerja yang dijalankan bukanlah sepeti pengertian kerja yang di amalkan dalam sekular tetapi lebih kepada penyertaan niat sebagai satu ibadat kepada Allah s.w.t dan mengharapkan ganjaran di dunia dan yang lebih utama di akhirat.

· Akauntibiliti dan rasa tanggungjawab pekerja bukan sahaja kepada seorang ketua, tetapi yang amat penting sekali adalah kepada Allah s.w.t yang maha mengetahui. Ini akan memberi implikasi bahawa pekerja tersebut akan bekerja dengan lebih dedikasi dan bertanggungjawab serta mempunyai iman yang teguh.

· Hubungan sesama manusia akan menjadi lebih akrab dan harmoni. Ini disebabkan Islam tidak memandang serta membezakan ras, keturunan, pangkat serta darjat tetapi lebih kepada ketaqwaannya dan keimanannya.

Perlaksanaan pendekatan tauhid terhadap pekerjaan memberi implikasi seperti berikut antaranya:

· Individu muslim akan bersikap terbuka, tidak jumud dan sempit fikirannya. Ia akan menjadi pekerja yang amanah, cekap dan disiplin. Ini adalah kerana apabila konsep tauhid telah sebati dengan jiwa seseorang hamba, maka sebarang tindakannya akan berlandaskan ketakwaan kepada Allah s.a.w.

· Konsep tauhid akan melahirkan insan yang mempunyai harga diri dan keyakinan diri yang paling tinggi. Mereka akan memperkatakan sesuatu yang hak dan benar.

· Ia menjana insan yang mempunyai rasa rendah diri dan tawadduk. Oleh itu ia boleh membentuk budaya kerja yang bercirikan oleh semangat hormat-menghormati, perihatin dan tolong-menolong di antara satu sama lain.

· Ia membina insan yang mempunyai tahap kesabaran, keazaman dan kesungguhan yang tinggi. Apabila ia melakukan sesuatu yang berdasarkan lunas-lunas Islam, maka ia pasti mendapat pertunjuk daripada Allah s.a.w.

· Pegangan konsep tauhid akan menjadikan manusia itu orang yang salih, berani dan berdiri tegak dalam kebenaran. Ini akan menjadikan seseorang pekerja itu mengamalkan nilai-nilai yang murni, amanah dalam tanggungjawab dan rajin serta cekap dalam menjalankan tugas.

Oleh itu jelaslah dalam menghadapi sebarang perubahan dalam organisasi adalah manusia itu sendiri yang merupakan sumber kualiti menurut Islam. Ini jelas di gambarkan dalam Al-Quran. Firman Allah s.w.t:

“ Aku Jadikan di muka bumi ini khalifah” ( Surah 2 : 30)

dan firmanNya lagi:

“Dia menjadikan untuk manusia segala-galanya yang terdapat di bumi” (Surah 2: 29)

Ayat Al-Quran di atas jelas menunjukkan pentingnya manusia sebagai khalifah di muka bumi ini sebagi sumber kualiti. Bagaimana menentukan manusia itu berkualiti adalah ketentuan daripada Allah s.w.t. Namun manusia perlu berusaha menjadikan dirinya berkualti agar mendapat ganjaran yang baik di akhirat kelak. Dalam Al-Quran Allah s.w.t berfirman:

“ Sesiapa yang melakukan kesalahan (kejahatan) sebesar atom pun akan dilihatNya” (Surah 99: 8)

Oleh itu, seseorang Islam dikehendaki mengamalkan ‘kesalahan sifar’ walaupun kesalahan itu hanya sebesar atom. Maka ini menunjukkan manusia perlu menjadikan diri mereka berkualiti bukan sahaja di dunia iaitu urusan pentadbiran sesama manusia malah lebih penting lagi menjadikan diri berkualiti dengan tuhan maha pencipta. Ini dapat dilaksanakan dengan penghayatan konsep tauhid bukan sahaja dalam sesuatu pentadbiran malah juga perlu diimplimentasikan dalam kehidupan seharian.

Rumusan

Perlaksanaan konsep tauhid dalam sesebuah organisasi adalah memberi penekanan kepada gelagat serta perilaku manusia iaitu buruh/pekerja serta majikan. Penekanan kepada gelagat manusia adalah kunci utama kejayaan sesuatu organisasi dan bukan semata-mata menekankan aspek struktur dan proses. Ini adalah kerana pekerja yang mengamalkan konsep Islam yang sebenarnya akan menjadikan diri mereka berkualiti menurut Islam dan akhirnya akan menghasilkan satu bentuk struktur serta proses pentadbiran yang berkualiti.

Sumber:

Blog Ustaz Nor Amin

Jurnal Pembaharuan Pentadbiran untuk Pembangunan menurut  perspektif islam

 

 

Leave a Reply