Konsep Harta menurut Islam

Filed under: Fiqh Islami,Karya,Kewangan Islam |

Islam datang dengan menggariskan satu sistem yang lengkap dalam mengatur dan menyusun kehidupan manusia. Islam bukan sahaja menyentuh persoalan mengenai hubungan manusia dengan Allah malah turut menjelaskan persoalan hubungan sesama manusia. Secara ringkasnya, hukum Islam terbahagi kepada tiga iaitu hukum berkaitan akidah, akhlak serta hukum-hukum amali. Hukum amali ini pula terbahagi kepada dua iaitu hukum berkaitan ibadah serta hukum berkaitan muamalat yang melibatkan hubungan sesama manusia seperti kekeluargaan, urusan jual-beli, pentadbiran dan jenayah. Maka, dalam penulisan ini kita akan membincangkan mengenai hukum-hakam berkaitan muamalat di mana kita akan menyentuh konsep asas dalam muamalat Islam iaitu konsep harta menurut Islam.

Konsep Harta
Menurut bahasa, harta ialah sesuatu yang boleh dimiliki. Namun, para fuqaha’ pula telah memberikan pelbagai tafsiran mengenai harta. Namun, penulis lebih cenderung untuk memilih definisi harta sebagai sesuatu yang boleh dimiliki dan dimanfaatkan dalam keadaan biasa. Definisi ini dilihat lebih menyeluruh dalam mewakili maksud harta itu sendiri. Maka, sesuatu yang kita miliki dan mampu kita manfaatkan seperti kenderaan dan rumah boleh dikira sebagai harta. Begitu juga sesuatu yang belum kita miliki namun berpotensi besar untuk dimiliki burung di udara dan haiwan di hutan juga dikira sebagai harta. Maka benda yang mustahil untuk dimiliki seperti cahaya dan udara tidak boleh dikira sebagai harta.
Selain itu, sesuatu yang sukar dimanfaatkan dalam keadaan biasa juga seperti setitik air dan sebutir beras tidak diiktiraf sebagai harta. Begitu juga sesuatu yang ditegah oleh syarak untuk memanfaatkannya seperti arak dan bangkai juga tidak dikira sebagai harta. Namun, terdapat beberapa perbezaan antara orang Islam dan bukan Islam daripada aspek pemilikan harta. Contohnya seperti arak yang tidak dikira sebagai harta menurut Islam namun tetap diiktiraf sebagai harta bagi bukan Islam kerana perkara tersebut tidak ditegah menurut agama dan kepercayaan mereka.

Hak dan Manfaat
Hak bererti sesuatu yang diiktiraf oleh syarak kepada seseorang sama ada berbentuk material atau moral dan berkaitan dengan harta atau diri. Contohnya hak nafkah, penjagaan anak, hak sewaan dan sebagainya. Menurut fuqaha’, hak yang tidak berkaitan dengan harta seperti penjagaan anak tidak dikira sebagai harta. Manfaat pula ialah faedah yang diperolehi daripada sesuatu benda atau aset seperti rumah sebagai tempat tinggal, kereta sebagai alat pengangkutan dan sebagainya. Para fuqaha’ berselisih dalam menentukan sama ada manfaat seperti ini dikira
sebagai harta atau tidak. Fuqaha’ Hanafi tidak mengiktiraf manfaat sebagai harta manakala jumhur pula berpandangan sebaliknya. Namun setelah diteliti didapati pandangan jumhur lebih rajih kerana kalau dikatakan manfaat yang wujud pada sesuatu benda itu tidak dapat dimiliki sedangkan pemilikan merupakan syarat asas bagi harta, maka anggapan ini dilihat kurang tepat. Hal ini kerana manfaat sesuatu benda itu hanya boleh dimiliki dengan memiliki benda itu sendiri. Maka, dalam hal ini, sememangnya manfaat wajar dikira sebagai harta.

Jenis-Jenis Harta
Harta boleh dibahagikan kepada beberapa jenis mengikut aspek-aspeknya yang tertentu dan setiap jenis ini mempunyai ciri-cirinya yang tersendiri iaitu :-
1- Harta Alih dan Harta Tidak Alih
Harta alih bermaksud harta yang boleh dipindahkan daripada suatu tempat ke tempat yang lain. Contohnya seperti kereta dan perkakas rumah. Harta tak alih pula ialah harta yang tetap dan tidak boleh dipindahkan daripada suatu tempat ke tempat yang lain seperti tanah dan bangunan. Namun, menurut Imam Malik, harta alih ialah harta yang boleh dipindahkan tanpa merosakkan atau mengubah bentuk dan sifat asal benda tersebut. Sekiranya perpindahan tersebut mengakibatkan berlakunya sebarang perubahan, maka ia akan dikategorikan sebagai harta tak alih.
2- Harta Serupa dan Harta Senilai

Harta serupa ialah harta yang mempunyai persamaan dengan harta lain di pasaran sama ada dari segi bentuk dan nilai. Jika wujud perbezaan sekalipun, ia masih dalam konteks yang boleh diterima oleh semua pihak. Harta ini dinilai daripada berasaskan sukatan, timbangan ataupun bilangan. Harta senilai pula ialah harta yang tiada jenis yang sama dengannya di pasaran atau terdapat jenis yang sama tetapi berbeza dari sudut nilai dan harga secara ketara dan tidak boleh diterima oleh semua pihak.

3- Harta yang Bernilai dan Tidak Bernilai

Harta yang bernilai ialah harta yang diiktiraf pemilikannya oleh syarak. Namun, pengiktirafan ini hanya akan wujud sekiranya harta tersebut melepasi 2 syarat asasnya iaitu harta tersebut dimiliki oleh pemiliknya secara sah dan harta tersebut juga boleh dimanfaatkan dalam keadaan biasa menurut hukum syarak. Harta tidak bernilai pula ialah harta yang tidak diiktiraf pemilikannya oleh syarak. Harta tersebut juga belum dimiliki sepenuhnya seperti burung di udara atau penggunaannya tidak dibenarkan oleh syarak dalam keadaan biasa seperti arak dan daging babi.
Rujukan
1- Wahbah al-Zuhaili (1984) Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, Damsyik : Dar al-Fikr
2- Abdul Karim Zaidan (2003) al-Madkhal li Dirasah al-Syari’ah al-Islamiyyah, Beirut : Muassasah al-Risalah
3- Paizah Ismail (1995) Asas-Asas Muamalat dalam Islam, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka

Oleh,
Khairul Azhar bin Meerangani
Sarjana Muda Syariah, Universiti Malaya

Pin It

Leave a Reply