FUQAHA’ AL-SAB’AH

Filed under: Adab & Akhlak,Karya,Tazkiyyatun Nafs |

PENGENALAN

Madinah merupakan salah satu kota yang menyimpan banyak nostalgia dalam sejarah awal. Di situ bermulanya kerajaan Islam yang pertama dan situ juga kota didiami oleh majoriti para sahabat Rasulullah s.a.w yang menerima didikan secara langsung daripada baginda seterusnya mewariskan khazanah ilmu mereka kepada generasi kedua yang dikenali sebagai Tabi’in. Maka, lahirlah sejumlah ulama’ dan fuqaha’ yang seperti Said Al-Musayyib, Urwah bin Zubair, Sulaiman bin Yasar, al-Qasim bin Muhammad, Abu Bakr bin Abdirrahman, Kharijah bin Zaid dan Ubaidullah bin Abdillah yang lebih dikenali sebagai fuqaha’ al-sab’ah.
Golongan-golongan tersebut telah menyumbangkan buah fikiran mereka untuk meningkatkan dan memperkukuhkan syariat Islam. Dengan lahirnya golongan tersebut, ia menunjukkan bahawa lebih ramai lagi yang mampu untuk berijtihad mengeluarkan sesuatu hukum dengan berlandaskan kepada al-Quran. Maka, penulisan ini akan menghuraikan secara ringkas latar belakang tokoh-tokoh hebat ini bagi memperkenalkan mereka yang telah banyak menyumbang kepada khazanah ilmu Islam.

LATAR BELAKANG TOKOH

1- Said Al-Musayyib

Nama sebenar beliau ialah Said bin Al-Musayyib bin Hazn Bin Wahab al-Quraisyi al-Makhzumi al-Madani. Beliau merupakan seorang Tabi’in yang terkenal dan salah seorang ulama’ fiqh yang terkenal di Madinah. Beliau dilahirkan pada tahun 15H iaitu 2 tahun selepas Saidina Umar menjadi khalifah dan meninggal dunia ketika usianya 79 tahun pada tahun 94H. Ayah dan datuknya adalah sahabat Nabi S.A.W.. Beliau merupakan ketua aliran madrasah Al-Hadith. Beliau juga merupakan salah seorang daripada 7 fuqaha’ yang terkenal di Madinah yang menyebarkan ilmu fiqh setelah mereka menerimanya dari para sahabat. Beliau memiliki sifat wara’, ’alim, thiqah kuat beribadat dan mempunyai pelbagai kelebihan sehingga digelarkan Faqih Al-Fuqaha’.

Antara jasa beliau ialah, beliau meriwayatkan hadis daripada para sahabat yang masyhur. Antaranya ialah Umar Al-Khattab, Uthman bin Affan, Zaid Bin Thabit, Aisyah, Abu Hurairah, Saad Al-Waqqas serta Abu Hurairah. Selain itu, hadisnya juga telah diriwayatkan oleh beberapa orang kibar al-tabiin seperti Muhammad bin Muslim, Saad bin Muslim, Amru bin Murrah, Salim Bin Abdullah, al-Zuhri, Qatadah, Syuraik, Yahya Bin Said al-Ansari dan ramai lagi. Dan di antara ulama yang meriwayatkan hadits dari beliau adalah Al-Imam Az-Zuhri, Qatadah, ‘Amr bin Dinar, Yahya bin Sa’id Al-Anshori, Syarik bin Abi Namir, ‘Abdurrahman bin Harmalah, ‘Atha Al-Khurasani, Maimun bin Mihran, dan yang lainnya.
Fatwa-fatwa beliau dalam pelbagai permasalahan selalu menjadi bahan rujukan kaum muslimin. Dan pernah diceritakan bahawa Umar bin ‘Abdil ‘Aziz sewaktu masih menjawat sebagai gabenor di kota Madinah hanya berani memutuskan suatu perkara setelah menanyakan dan mendapatkan pandangan mengenai perkara tersebut kepada Sa’id bin Al Musayyib terlebih dahulu.
Beliau juga sememangnya diiktiraf oleh sebahagian besar ulama’ dunia Islam ketika itu antaranya ‘Abdullah bin ‘Umar r.a dimana beliau berkata: “Sa’id bin Al-Musayyib -demi Allah- adalah termasuk dari para mufti (ahli fatwa).” ‘Ali bin Al-Madini pula berkata: “Aku tidaklah mengetahui salah seorang dari kalangan tabi’in yang lebih luas ilmunya daripada Sa’id bin Al-Musayyib. Dan dia menurutku adalah seorang tabi’in yang paling mulia.” Selain itu, salah seorang tokoh tabi’in iaitu Maimun bin Mihran turut berkata: “Aku datang ke kota Madinah, maka aku bertanya kepada penduduk Madinah siapa orang yang paling pandai di antara mereka. Maka mereka pun mengarahkanku kepada Sa’id bin Al-Musayyib.” ‘Umar bin ‘Abdil ‘Aziz juga tidak ketinggalan dalam memuji beliau di mana menurutnya: “Tidaklah ada seorang alim pun di kota Madinah kecuali ia mendatangiku dengan ilmunya, adapun aku, maka aku mendatangi Sa’id bin Al-Musayyib karena sesuatu yang ada pada sisinya berupa ilmu.”
Sebagaimana nasib yang menimpa para ulama’ yang lain, beliau juga tidak terkecuali daripada menerima ujian dan cuba yang menimpanya. Diriwayatkankan bahawa pada masa pemerintahan dipegang oleh sahabat ‘Abdullah bin Az-Zubair r.a, beliau mewakilkan kota Madinah kepada Jabir bin Al-Aswad Az-Zuhri. Dia (Jabir) menyeru manusia untuk berbaiat kepada ‘Abdullah bin Az-Zubair. Maka berkatalah Sa’id: “Aku tidak mahu berbaiat sehingga semua manusia bersepakat untuk membaiatnya.” Maka beliau pun disebat sebanyak 60 sebatan. Apabila berita tersebut sampai kepada ‘Abdullah bin Az-Zubair, maka beliau pun menulis surat celaan kepada Jabir dan memerintahkannya untuk membiarkan Sa’id bin Al-Musayyib. Kemudian ketika berkuasanya khalifah Al-Walid bin ‘Abdil Malik dan Sulaiman bin ‘Abdil Malik, beliau juga diminta untuk memberi baiat kepada keduanya namun beliau tidak segera melaksanakan arahan tersebut bagi menunggu situasi kondusif terlebih dahulu. Maka beliau pun disebat sebanyak 60 sebatan dan diarak di hadapan masyarakat dalam keadaan hanya memakai celana lalu dimasukkan ke dalam penjara.
Tokoh tabi’in yang mulia ini wafat pada tahun 94 Hijriyah kerana penyakit berat yang menimpanya. Dan tahun tersebut juga dikenali sebagai tahun Fuqaha’, kerana banyaknya para fuqaha’ yang meninggal pada tahun tersebut.

2- Urwah bin az-Zubair

Nama sebenar beliau ialah Urwah bin Zubair bin Al-Awwam bin Asad al-Madani. Ibunya ialah Asma’ binti Abu Bakar. Beliau merupakan adik kepada Abdullah bin Zubair dan anak saudara kepada Ummul Mukminin Aisyah r.a. Beliau juga salah seorang tabi’in besar dan salah seorang penghafal hadits yang sangat baik. Beliau amat dikenali sebagai seorang yang berilmu tinggi dan mendapat sanjungan dari semua lapisan masyarakat ketika itu. Beliau terkenal sebagai orang yang thiqah dan kuat daya hafalannya. Beliau sempat meriwayatkan hadis daripada ayahnya, namun hanya sedikit. Di samping itu beliau turut meriwayatkan hadis daripada Sa’id bin Zaid, ‘Ali bin Abi Thalib, Jabir, Al-Hasan, Al-Husain, Muhammad bin Maslamah, Abu Hurairah, Ibnu ‘Abbas, Zaid bin Tsabit, Abu Ayyub Al-Anshari, Al-Mughirah bin Syu’bah, Usamah bin Zaid, Mu’awiyah, ‘Amr bin Al-’Ash, ‘Abdullah bin ‘Amr bin Al ‘Ash, Hakim bin Hizam, ‘Abdullah bin ‘Umar, dan yang lainnya.

Para ulama yang berguru dan meriwayatkan hadits dari beliau adalah Sulaiman bin Yasar, Abu Salamah bin ‘Abdirrahman, Ibnu Syihab Az-Zuhri, Abu Az-Zinad, Shalih bin Kaisan, Ja’far Ash-Shadiq, Ibnu Abi Mulaikah, ‘Ubaidullah bin ‘Abdillah bin ‘Utbah, ‘Atha bin Abi Rabah, ‘Umar bin ‘Abdil ‘Aziz, ‘Amr bin Dinar, Yahya bin Abi Katsir, dan sejumlah ulama yang lain. Beliau adalah orang pertama yang menulis tentang masalah Al-Maghazi (peperangan) dan yang paling banyak melantunkan syair pada zamannya.Beliau adalah salah seorang di antara sepuluh ulama di kota Madinah yang selalu menjadi rujukan khalifah ‘Umar bin ‘Abdil ‘Aziz sewaktu beliau menjabat sebagai gubernur di kota tersebut.
Para ulama’ juga tidak ketinggalan dalam memberikan pujian kepada beliau. Antaranya Abdurrahman bin Humaid bin Abdirrahman di mana beliau pernah berkata: Aku masuk ke dalam sebuah masjid bersama ayahku. Maka aku melihat manusia sedang berkumpul kepada seseorang. Ayahku berkata: Cuba lihat siapa dia! Maka akupun mendekatinya lalu ternyata dia adalah ‘Urwah bin Az-Zubair. Aku pun menceritakannya dengan perasaan kagum kepada ayahku. Ayahku kemudian berkata: Wahai anakku, jangan engkau berasa hairan. Sesungguhnya aku telah melihat para sahabat Rasulullah sendiri bertanya kepadanya. Ahmad bin ‘Abdillah Al-’Ijli pula berkata: ‘Urwah bin Az-Zubair adalah seorang tabi’in yang thiqah (terpercaya), seorang yang salih, dan tidak pernah fitnah menimpanya sedikitpun. Selain itu, Muhammad bin Sa’d juga berkata: ‘Urwah adalah seorang yang terpercaya, kuat dalam ilmu, amanah, banyak hafalan hadisnya, faqih, dan alim.
Tokoh tabi’in yang mulia ini wafat pada tahun 93 Hijriyah dalam usianya yang ke-70 tahun dalam keadaan sedang berpuasa. Hisyam bin ‘Urwah iaitu anak beliau mengatakan: Dahulu ayahku berpuasa terus-menerus (banyak berpuasa) dan meninggal dalam keadaan berpuasa.Namanya harum dan senantiasa dikenang sepanjang masa sebagai seorang insan yang sabar dan tabah di dalam menghadapi musibah yang sangat berat.

3- Abu Bakr bin Abdirrahman
Beliau bernama Abu Bakr bin ‘Abdirrahman bin Al-Harits bin Hisyam bin Al-Mughirah bin ‘Abdillah bin ‘Umar bin Makhzum Al-Qurasyi Al-Madani. Beliau dilahirkan pada masa khalifah ‘Umar bin Al-Khaththab r.a. Di samping sebagai seorang tokoh tabi’in yang mulia, beliau juga termasuk dari barisan pembesar kaumnya iaitu Bani Makhzum. Ayah beliau iaitu ‘Abdurrahman bin Al-Harits juga termasuk dalam kalangan tokoh besar tabi’in dan dimuliakan di tengah-tengah kaumnya kerana memiliki pandangan-pandangan dan pemikiran yang tajam serta banyak memiliki keutamaan. Ayah beliau dilahirkan ketika Rasulullah s.a.w masih hidup, namun tidak diketahui apakah beliau termasuk shahabat atau bukan.
Beliau meriwayatkan hadis daripada ayahnya sendiri iaitu ‘Abdurrahman bin Al-Harits, ‘Ammar bin Yasir, Abu Hurairah, Asma’ bintu Abi Bakr, ‘Aisyah, Ummu Salamah, Abu Mas’ud Al-Anshari, Naufal bin Mu’awiyah, Marwan bin Al-Hakam, ‘Abdurrahman bin Muthi’, Abu Rafi’ An-Nabawi, Asma’ bintu ‘Umais, dan lain-lain. Sedangkan para ulama yang meriwayatkan hadis daripada beliau adalah putera beliau sendiri iaitu ‘Abdullah dan ‘Abdul Malik, Mujahid bin Jabr Al-Makki, ‘Umar bin ‘Abdil ‘Aziz, ‘Amir bin Syurahbil Asy-Sya’bi, ‘Irak bin Malik, ‘Amr bin Dinar, Ibnu Syihab Az-Zuhri, ‘Abdu Rabbih bin Sa’id, ‘Ikrimah bin Khalid, ‘Ibrahim bin Muhajir, ‘Abdullah bin Ka’b Al-Himyari, ‘Abdul Wahid bin Aiman, Al-Qasim bin Muhammad bin ‘Abdirrahman, dan yang lainnya.
Beliau diberi jolokan dengan ‘Rahib Quraisy’ yang bererti seorang ahli ibadah dari Quraisy disebabkan banyaknya solat-solat sunat yang beliau lakukan. Beliau adalah orang yang menjaga kehormatan dirinya untuk tidak meminta-minta kepada orang lain. Tokoh tabi’in yang thiqah dan selalu menjaga amanah ini juga sangat rajin mengamalkan puasa-puasa sunat. Antara ulama yang melontarkan pujian kepada beliau ialah Az-Zahabi di mana beliau berkata: “Abu Bakr bin ‘Abdirrahman adalah termasuk dari orang-orang yang mampu mengumpulkan pada dirinya ilmu, amal dan kemuliaan. Dan beliau mampu mewarisi kedudukan ayahnya dalam hal kemuliaan.” Az-Zubair bin Bakkar pula berkata: “Beliau adalah salah seorang dari tujuh fuqaha’ kota Madinah, beliau diberi gelaran dengan ‘Ar-Rahib’ (orang yang banyak beribadah) dan beliau termasuk dari kalangan para pembesar Quraisy.” Selain itu, Ibnu Khirasy juga pernah berkata: “Beliau adalah termasuk salah satu dari ulama kaum muslimin. Beliau dan saudara-saudara kandungnya merupakan contoh tentang orang-orang yang memiliki keutamaan.” Beliau wafat pada tahun 94 Hijriyah., suatu tahun yang dikenal dengan nama tahun Fuqaha disebabkan banyaknya para fuqaha’ yang meninggal pada tahun tersebut.

4- Sulaiman bin Yasar

Beliau adalah Abu Ayyub Sulaiman bin Yasar Al-Hilali Al-Madani. Beliau dilahirkan pada waktu akhir pemerintahan Al-Khalifah ‘Utsman bin ‘Affan r.a. Beliau memiliki beberapa saudara kandung iaitu ‘Atha’ bin Yasar, ‘Abdul Malik bin Yasar, dan ‘Abdullah bin Yasar. ‘Atha’ bin Yasar juga merupakan seorang ‘alim yang cukup disegani di kota Madinah.
Beliau meriwayatkan hadis daripada Zaid bin Thabit, ‘Abdullah bin ‘Abbas, Abu Hurairah, Hassan bin Thabit, Jabir bin ‘Abdillah, Rafi’ bin Khudaij, ‘Abdullah bin ‘Umar, ‘Aisyah, Ummu Salamah, Maimunah, Hamzah bin ‘Amr Al-Aslami, Al-Miqdad bin Al-Aswad, ‘Urwah bin Az-Zubair, Kuraib, ‘Irak bin Malik, ‘Amrah Al-Anshariyah, Muslim bin As-Saib, dan yang lainnya. Adapun ulama yang meriwayatkan hadis daripada beliau pula adalah saudara kandung beliau iaitu ‘Atha’ bin Yasar, Ibnu Syihab Az-Zuhri, Bukair bin Al-Asyaj, ‘Amr bin Dinar, ‘Amr bin Maimun bin Mihran, Salim Abu An-Nadhr, Rabi’ah Ar-Ray, Ya’la bin Hakim, Ya’qub bin ‘Utbah, Abu Az-Zinad, Shalih bin Kaisan, Muhammad bin ‘Amr bin ‘Atha’, Muhammad bin Yusuf Al-Kindi, Yahya bin Sa’id Al-Anshari, Yunus bin Yusuf, ‘Abdullah bin Al-Fadhl Al-Hasyimi, ‘Amr bin Syu’aib, Muhammad bin Abi Harmalah, ‘Abdurrahman bin Yazid bin Jabir, Khutsaim bin ‘Irak, dan yang lainnya.
Keluasan ilmunya menjadikan sebagian ulama lebih mengutamakan beliau dari sudut keilmuan berbanding Sa’id bin Al-Musayyib. Namun beliau adalah seorang yang sangat tawadhu’. Beliau pernah mengatakan tentang keutamaan Sa’id bin Al-Musayyib: “Sa’id bin Al-Musayyib adalah seorang manusia pilihan.” Diriwayatkan oleh ‘Abdullah bin Yazid Al-Hudzali bahwa suatu ketika telah datang seseorang kepada Sa’id bin Al-Musayyib untuk bertanyakan tentang sesuatu, maka kata Sa’id bin Al-Musayyib: “Pergilah engkau kepada Sulaiman bin Yasar, kerana sesungguhnya dia adalah orang yang paling ‘alim daripada manusia pilihan pada masa ini.” Al-Imam Malik pula berkata: “Sulaiman bin Yasar adalah ulama umat setelah Sa’id bin Al-Musayyib, dan beliau sering menyepakati Sa’id dalam permasalahan agama. Dan Sa’id sendiri tidak berani mendahuluinya.”
Begitulah akhlak orang-orang yang berilmu, mereka adalah orang-orang yang memiliki sifat tawadhu’ (rendah hati), saling mengutamakan antara yang satu dengan yang lainnya, dan tidak membanggakan dirinya kemudian merendahkan yang lain walaupun pada hakikatnya dirinya memiliki kelebihan berbanding yang lainnya. Qatadah bin Di’amah pernah berkata: “Aku sampai di kota Madinah, maka aku bertanya kepada penduduknya tentang orang yang paling ‘alim tentang masalah talaq di kota tersebut, maka mereka menjawab: Sulaiman bin Yasar.” Ibnu Hibban sendiri meletakkannya sebagai salah seorang fuqaha’ kota Madinah dan Qurra’ (Ahli Qira’ah) nya kota itu.
Para ulama berbeza pendapat dalam menentukan tahun wafat beliau. Ada yang mengatakan beliau wafat pada tahun 107 Hijriyyah pada usia 73 tahun. Al-Imam Al-Bukhari meriwayatkan bahawa Harun bin Muhammad berkata: Aku mendengar sebahagian kawanku berkata: Tahun wafat Sulaiman bin Yasar, Sa’id bin Al-Musayyib, ‘Ali bin Al-Husain, Abu Bakr bin ‘Abdirrahman adalah pada tahun 94 Hijriyyah, yang disebut tahun Fuqaha’.

5- al-Qasim bin Muhammad

Nama lengkap beliau adalah Al-Qasim bin Muhammad bin Abi Bakr As-Siddiq At-Taimi Al-Qurasyi. Beliau merupakan cucu Khalifah Abu Bakr As-Siddiq r.a, sahabat yang paling dicintai oleh Rasulullah s.a.w dan sekaligus merupakan manusia terbaik di muka bumi setelah wafatnya baginda.
Al-Qasim meriwayatkan hadis dari ayahnya (Muhammad bin Abi Bakr), ‘Aisyah, Ibnu ‘Abbas, Ibnu ‘Umar, Ibnu Az-Zubair, Ibnu ‘Amr bin Al-‘Ash, ‘Abdullah bin Ja’far, Abu Hurairah, ‘Abdullah bin Khabbab, Mu’awiyah, Rafi’ bin Khadij, Aslam, Fatimah bintu Qais, dan yang lainnya manakala para muhaddisun yang meriwayatkan hadis daripada beliau pula adalah anaknya sendiri (‘Abdurrahman), Asy-Sya’bi, Salim bin ‘Abdillah bin ‘Umar, Yahya bin Sa’id Al-Anshari, Ibnu Abi Mulaikah, Nafi’ maula Ibni ‘Umar, Az-Zuhri, Ayyub As-Sakhtiyani, Ibnu ‘Aun, Rabi’ah, Abu Az-Zinad, dan ramai lagi.
Beliau adalah seorang tabi’in yang amanah sehingga ‘Umar bin ‘Abdul ‘Aziz yang digelar sebagai khalifah kelima yang adil, tertarik akan keamanahannya. Beliau berkata: “Seandainya aku mempunyai sedikit kekuasaan, maka aku akan jadikan Al-Qasim sebagai khalifah.” Al-Qasim merupakan seorang sabar dalam menjalani takdir Allah sebagai anak yatim dalam didikan ‘Aisyah r.a. Menurut Abdullah bin Az-Zubair r.a, beliau merupakan cucu Abu Bakar As-Siddiq yang memiliki perwatakan paling mirip dengan datuknya.
Antara ulama yang memuji ketokohan beliau ialah Yahya bin Sa’id di mana beliau berkata: “Kami tidak melihat seorang pun di Madinah yang lebih kami utamakan daripada Al-Qasim.”. Abu Az-Zinadpula berkata: “Aku tidak melihat seorang yang lebih tahu tentang As-Sunnah daripada Al-Qasim bin Muhammad, dan aku juga melihat tidak ada seorang pun yang lebih pintar daripada dia.” Imam Malik bin Anas ketika ditanya mengenai beliau mengatakan: “Al-Qasim adalah salah seorang di antara Fuqaha’ umat ini.” Sufyan bin ‘Uyainah pernah mengatakan: “Orang yang paling mengetahui hadis (riwayat dari) ‘Aisyah ada tiga: Al-Qasim bin Muhammad, ‘Urwah bin Az-Zubair, dan ‘Amrah bintu ‘Abdirrahman.”
Tokoh besar tabi’in yang buta di akhir kehidupannya ini wafat setelah meninggalnya ‘Umar bin ‘Abdil ‘Aziz. Para ulama berbeza pendapat dalam menyebutkan tahun wafat dan umur beliau ketika itu. Ada yang mengatakan beliau wafat tahun 101 H, 102 H dan ada juga yang mengatakan tahun 105 H. Beliau wafat dalam usia 70 tahun pada masa kekhalifahan Yazid bin ‘Abdil Malik bin Marwan sewaktu menunaikan ibadah ‘umrah bersama Hisyam bin ‘Abdil Malik di perbatasan antara kota Madinah dan Makkah.

6- Ubaidullah bin Abdillah

Beliau adalah Abu ‘Abdillah ‘Ubaidullah bin ‘Abdillah bin ‘Utbah bin Mas’ud Al- Hudzali Al-Madani. Dilahirkan pada masa khalifah ‘Umar bin Al-Khaththab r.a. Imam yang faqih ini merupakan mufti Madinah. Penglihatan yang buta tidak menghalangi beliau untuk menjadi salah satu dari tujuh tokoh Al-Fuqaha’ As-Sab’ah. Saudara kandung beliau bernama ‘Aun bin ‘Abdillah juga seorang Muhaddis. Datuk mereka berdua yang bernama ‘Utbah bin Mas’ud adalah saudara kandung kepada seorang sahabat yang mulia iaitu ‘Abdullah bin Mas’ud r.a.
Beliau meriwayatkan hadis dari ayahnya sendiri, dan juga daripada ‘Aisyah, Abu Hurairah, Fatimah bintu Qais, Abu Waqid Al-Laitsi, Zaid bin Khalid Al-Juhani, ‘Abdullah bin ‘Abbas, ‘Abdullah bin ‘Umar, Abu Said Al-Khudri, An-Nu’man bin Basyir, Maimunah, Ummu Salamah, Ummu Qais bintu Mihshan, dan yang lainnya. Sedangkan para muhaddisun yang belajar kepada beliau adalah ‘Aun bin ‘Abdillah, Ibnu Syihab Az-Zuhri, Dhamrah bin Sa’id Al-Mazini, ‘Irak bin Malik, Musa bin Abi ‘Aisyah, Abuz Zinad, Shalih bin Kaisan, Khusaif Al-Jazari, Sa’d bin Ibrahim, Salim Abu An-Nadhr, Thalhah bin Yahya bin Thalhah, ‘Abdul Majid bin Suhail, Abu Bakar bin Abi Al-Jahm Al ‘Adawi, dan sebagainya.
Salah satu peranan beliau yang sangat menonjol dalam dunia pendidikan adalah beliau merupakan pengajar sekaligus pembimbing Amirul Mu’minin ‘Umar bin ‘Abdil ‘Aziz. Begitu kuatnya pengaruh dari pendidikan beliau ini sehingga ‘Khalifah yang kelima’ ini pernah mengatakan: “Jika ‘Ubaidullah masih hidup, maka tidaklah aku mengembalikan suatu permasalahan kecuali kepada pendapatnya.” Al-Waqidi berkata: “Beliau adalah seorang yang terpercaya, seorang ‘alim, faqih, banyak meriwayatkan hadis, dan pandai dalam bidang sya’ir walaupun beliau telah kehilangan penglihatannya.” Ahmad bin ‘Abdillah Al-’Ijli pula berkata: “Beliau adalah seorang yang buta, (walau demikian) beliau adalah salah seorang fuqaha’ kota Madinah, tabi’in yang terpercaya, seorang yang salih, memiliki banyak ilmu, dan beliau adalah pengajar ‘Umar bin ‘Abdil ‘Aziz.”
Al-Hafizh Ibnu ‘Abdil Barr pernah berkata: “Beliau adalah seorang dari kalangan Al-Fuqaha’ As-Sab’ah yang menjadi rujukan dalam fatwa, beliau adalah seorang ‘alim yang memiliki keutamaan dan beliau diutamakan dalam bidang fiqh, seorang yang bertaqwa, ahli syair, senantiasa berbuat kebajikan. Dan tidaklah ada seorangpun setelah para sahabat sampai hari ini (zaman Ibnu ‘Abdil Barr) -sepengetahuanku- seorang ahli fiqh yang lebih ahli dalam bidang syair daripada beliau dan tidak pula ada seorang penyair yang lebih faqih daripada beliau.” Beliau meninggal pada tahun 99 Hijriyah, dan ada yang mengatakan meninggal pada tahun 98 Hijriyah.

7- Kharijah Bin Zaid
Nama lengkap beliau adalah Kharijah bin Zaid bin Tsabit Al-Anshari An-Najjari Al-Madani. Salah seorang dari tujuh tokoh ulama Madinah (Al-Fuqaha’ As-Sab’ah) dan merupakan anak dari seorang ulama sahabat iaitu Zaid bin Tsabit r.a. Zaid bin Thabit telah dikenali oleh kaum muslimin dimana beliau pernah menjadi ketua pasukan pengumpul Al-Qur’an pada masa Khalifah ‘Utsman bin ‘Affan r.a, di samping seorang ‘alim yang sangat disegani di kalangan para sahabat. Zaid bin Thabit memiliki beberapa anak iaitu Kharijah, Isma’il, Sulaiman, Yahya, dan Sa’d. Namun yang paling utama di antara mereka adalah Kharijah.
Beliau meriwayatkan hadis dan menimba ilmu dari ayahnya, iaitu Zaid bin Thabit, dari ibunya, iaitu Ummu Sa’d binti Sa’d, dan dari bapa saudaranya iaitu Yazid, ‘Abdurrahman bin Abi ‘Amrah, Sahl bin Sa’d, Usamah bin Zaid, dan yang lainnya. Adapun para ulama yang meriwayatkan hadis dan menimba ilmu dari beliau adalah anaknya, iaitu Sulaiman, dua orang anak saudaranya iaitu Sa’id bin Sulaiman dan Qois bin Sa’d, Abu An-Nadhr Salim, Abu Az-Zinad, ‘Abdul Malik bin Abi Bakar bin ‘Abdirrahman bin Al-Harits, ‘Abdullah bin ‘Amr bin ‘Utsman bin ‘Affan, ‘Utsman bin Hakim Al-Anshari, Mujalid bin ‘Auf, Muhammad bin ‘Abdillah Ad-Dibaj, Ibnu Syihab Az-Zuhri, Yazid bin ‘Abdillah bin Qusaith, Abu Bakar bin Hazm, dan lain-lain. Beliau adalah seorang yang ahli dalam ilmu faraid dan pembahagian harta warisan sebagaimana ayahnya sendiri.
Antara ulama yang memberikan penghargaan kepada beliau ialah Ahmad bin ‘Abdillah Al-’Ijli yang berkata: “Kharijah bin Zaid adalah seorang tabi’in dari Madinah yang thiqah (terpercaya).” ‘Ubaidullah bin ‘Umar pula berkata: “Yang meneruskan ilmu fiqh setelah wafatnya para sahabat Rasulullah di kota Madinah adalah Kharijah bin Zaid bin Tsabit, Sa’id bin Al-Musayyib, ‘Urwah bin Az-Zubair, Al-Qasim bin Muhammad, Qabishah bin Dzu’aib, ‘Abdul Malik bin Marwan, dan Sulaiman bin Yasar maula Maimunah.” Mush’ab bin Az-Zubairi pernah berkata: “Kharijah dan Thalhah bin ‘Abdillah bin ‘Auf pernah membahagi harta waris dan menuliskan perjanjian-perjanjian, dan orang-orang pun merujuk kepada pendapat keduanya.”
Ibnu Numair dan ‘Amr bin ‘Ali mengatakan bahwa beliau wafat pada tahun 99 Hijriyyah, sementara Ibnul Madini dan para ulama yang lain berpendapat bahwa beliau wafat pada tahun 100 Hijriyyah. Semoga Allah melimpahkan rahmat-Nya kepada beliau.

KESIMPULAN

Kewujudan tokoh-tokoh ilmuan pada zaman tabi’in ini merupakan kesinambungan perjuangan para sahabat yang menerima didikan secara langsung daripada Rasulullah s.a.w. Para tokoh ini telah memberikan sumbangan yang besar terhadap umat Islam terutamanya dalam menyelesaikan pelbagai permasalahan mereka ketika itu kerana adakalanya terdapat beberapa permasalahan yang tidak disebut penyelesaiannya secara langsung di dalam al-Quran dan as-Sunnah. Maka, usaha yang dirintis oleh mereka ini telah mendatangkan pelbagai manfaat dan kebaikan dalam dunia Islam sehinggalah ke hari ini. Semoga Allah melimpahkan rahmat yang banyak dan memberikan ganjaran yang setimpal atas setiap usaha yang mereka lakukan tersebut.

RUJUKAN

1- Siyar al-A’lam al-Nubala’
2- Al-Bidayah wa al-Nihayah

Oleh,
Khairul Azhar Bin Meerangani
Sarjana Muda Syariah, Universiti Malaya

Pin It

Leave a Reply