Apa signifikannya Gua Hira’ & Penurunan Wahyu Pertama

Filed under: Kolumnis |

Permandangan Kota Suci Makkah daripada Jabal Nur menjelang waktu Isyak: kelihatan cahaya lampu menerangi perkarangan Masjidil Haram

 

Umum mengetahui Gua Hira’ adalah tempat turunnya wahyu pertama, di mana Jibril datang menemui Rasulullah yang sedang bertafakur di Gua Hira’, dalam hening malam, dalam kesunyian dan kegelapan. Saya tidak berniat menceritaka secara terperinci mengenai peristiwa ini, walaupun ia satu perisitiwa yang sangan penting dan sangat patut deberi perhatian. Wahyu yang pertama ialah daripada surah Al-’Alaq daripada ayat 1 hingg 5. Saya juga tidak berniat memperincikan tafsir ayat-ayat ini dan hikmah mengapa ayat ini diturunkan.

Syed Qutb dalam Tafsir Surah Al-’Alaq dan dalam Muqaddimah Tafsir Fi Zilaalil Quran banyak membicarakan betapa signifikannya peristiwa penurunan wahyu pertama ini dalam sejarah umat manusia. Peristiwa ini menandakan satu permulaan episod baru dalam hubungan umat manusia seluruhnya dengan Penciptanya yang Maha Esa. Peristiwa ini merupakan permulaan hubungan langit dengan bumi.

Inilah permulaan satu fasa selama 23 tahun, di mana Allah mendidik satu generasi umat yang unik secara langsung melalui perantaraan Rasulnya. Wahyu Al-Quran diturunkan kepada mereka sedikit demi sedikit, adakalanya bagi menjawab persoalan, memberi teguran, mengemukakan datu dimensi baru dalam kehidupan, memberi satu cara fikir yang unik, menjawab tohmahan, menguatkan keazaman, menyatakan sokongan, memujuk hati yang gundah, memandu hati yang waswas, mendidik yang keliru, memberi amaran kepada yang ingkar, menegur, menyindir, menempelak, menceritakan kisah umat terdahulu untuk dijadikan panduan dan pedoman, merungkai segala tipudaya iblis dan syaitan, membongkarkan rancangan jahat orang musyrik dengan menggunkan pendekatan yang pelbagai.

Inilah hubungan yang membebaskan manusia daripada kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat, memerdekakan manusia daripada segala bentuk penindasan dan karut marut kepercayaan kepada penghambaan kepada Allah Yang Satu. Didikan Allah bukan sahaja dalam perkara yang zahir, malah apa yang ada di dalam hati Rasulullah dan para sahabat juga diungkapkan oleh Allah.

Peristiwa ini berlaku dalam keadaan umat yang diselubungi jahiliyyah, setelah ajaran Nabi Ibrahim telahpun luntur, dicampur asuk dengan adat-adat, amalan-amalan agama cuma berdasarkan sangkaan-sangkaan dan pelbagai jenis berhala menjadi perantaraan untuk sampai kepada Allah Sang Pencipta.

Daripada didikan langsung inilah lahirnya “Generasi Quran Yang Unik” sebagaimana yang diungkapkan oleh Syed Qtub dalam bukunya “Petunjuk Sepanjang Jalan/Milestone/Ma’alim Fi Thoriq”. Inilah sebaik-baik generasi didikan Rasulullah yang seterusnya menyambung kegemilangan Islam dan menyampaikan sinar hidayah ke seluruh pelusuk dunia.

Wahyu ini telah memberikan satu matlamat baru kepada manusia dalam kehidupannya dan  menerangkan hakikat kewujudan manusia di alam ini. Wahyu ini memberi definisi baru dalam hubungan manusia dengan alam sekelilingnya, hubungannya dengan Allah, yang mencipta alam ini.

Inilah satu jangkamasa yang telah mengubah satu bangsa yang tiada nilai di sisi manusia menjadi pemimpin sebuah tamadun baru, mengubah masyarakat jahiliyyah yang menjadi hamba nafsu serakah kepada hamba Allah yang taat kepada suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya.

Suatu ketika, apabila wafatnya Rasulullah, Abu Bakar meneruskan kebiasaan Rasulullah menziarahi Ummu Aiman, ibu susuan Rasulullah yang telah lanjut usia ketika itu. Ummu Aiman didapati dalam keadaan menangis lalu Abu Bakar pun bertanya akan sebabnya; Ummu Aiman menjawab; Aku tidak bersedih dengan wafatnya Rasulullah, tetpai akau amat sedih kerana putusnya wahyu setelah kewafatan Rasulullah. Itulah satu kehilangan yang besar.

Rasulullah telah wafat. begitu juga sahabat yang baginda didik. Namun yang ada bersama kita adalah Al-Quran dan Sunnah Rasulullah. Marilah kita menghayati al-quran sebagaimana para sahabat menghayatinya. Marilah kita merasakan setiap seruan dan suruhan itu adalah untuk kita. Setiap peringatan itu untuk kita. Setiap kisah umat terdahulu adalah pedoman buat kita. Setiap janji balasannya Syurga mahupun ancaman neraka adalah untuk kita. Setiap pujukan dan kata-kata semangat itu adalah untuk kita. Begitu juga setiap ancaman, sindiran, amaran azab adalah untuk kita sekiranya kita ingkar. Setiap kisah umat yang dibinasakan adalah amaran bahawa mana-mana umat yang melakukan kezaliman serupa akan di azab dengan balasan yang serupa di setiap masa dan setiap zaman.

Inilah kesan langsung peristiwa wahyu pertama! Kesan yang akan terus nyata sehingga hari akhirat!

Alangkah baiknya, andai kita mampu memahami segala wahyu ini, menghayatinya dan beramal dengannya. Ya Allah berikanlah kami kekuatan untuk kami baca ayat-ayat Mu, untuk kami fahami dan hayati setiap maksudnya, untuk kami laksanakan setiap suruhannya, dan kami tinggalkan segala larangannya. Semoga kami beroleh syurga yang engkau janjikan dan dijauhkan daripada neraka dan siksa azab-Mu. Semoga kami dapat mengadap-Mu, dalam engkau redha dan beroleh Rahmat-Mu.

Kepada Allahlah segala puji. Berikanlah kami kekuatan untuk beramal dengan wahyu-Mu. Dan matikanlah kami dalam keimanan yang tidak berbelah bagi.

 

 

 

 

 

 

 

 

Tn Haji Zaizul Azizi Zaman

Pin It

Leave a Reply